Salah satau kawasan penting yang menjadi tarikan pelancong di Bandar Melaka ialah Bukit St. Paul yang satu ketika dulu menjadi pusat Empayar Kesultanan Melayu Melaka. Di atas Bukit St. Paul ini atau dulunya dikenali sebagai bukit Melaka dipercayai terletaknya sebuah istana yang indah kemungkinannya kepunyaan Sultan Mansor Syah seperti yang digambarkan dalam Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang.
Atas kesedaran untuk memelihara kesan-kesan sejarah, sebuah replica Istana Kesultanan Melaka telah didirikan dengan tujuan untuk membangun semangat dan kegemilangan zaman kegemilangan Empayar Melaka.
Replika Istana Kesultanan Melayu Melaka ini mengenengahkan kehalusan seni ukiran corak bunga-bungaan dan tumbuhan tempatan seperti yang terlihat pada ukiran dinding dan tiang istana. Selain sebagai replica istana, bangunan ini juga berfungsi sebagai muzium budaya yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Menurut Sejarah Melayu, istana ini mempunyai 17 ruang yang panjang dan setiap satunya berukuran 87.5 meter serta mempunyai 40 pintu. Namun begitu replica istana ini dikecilkan saiznya menjadi 67.2 meter panjang, 18.5 meter tinggi dan 12 meter lebar.
Ruang-ruang pameran termasuk balairong seri yang menggambarkan zaman pemerintahan Kesultanan Melaka seperti istiadat menghadap Raja dan lain-lain peraturan istana di tempatkan di tingkat satu. Di tingkat dua pula terletaknya pameran tempat peraduan raja dan bilik-biliknya manakala du tingkat tiga menempatkan simpanan segala khazah.
Objektif pembinaan Replika Istana Kesultanan Melaka.
- Untuk mempamerkan kepada umum suasana di Istana Kesultanan Melayu Melaka dan ruang-ruang tertentu seperti Balairong Seri, Balai Beradu serta ciri-ciri Adat Istiadat Raja-Raja Melayu di zaman Kesultanan Melayu Melaka.
- Untuk menunjukkan keagungan institusi beraja sebagai warisan sejarah budaya Bangsa Melayu yang pernah menerajui Negeri Melaka suatu ketika dahulu disamping mengimbas kembali sejarah pertikaman Hang Tuah dan Hang Jebat dan pengajaran dari peristiwa tersebut.
- Replika istana ini dibina pada tahun 1984 dan dijadikan sebagai Muzium Budaya apabila dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 17 Julai 1986. Keseluruhan bangunan ini diperbuat daripada kayu keras manakala atapnya dari kepingan kayu belian. *Pembinaannya bercirikan seni pertukangan Rumah Melayu Melaka di mana sendi bangunan diperkuatkan dengan pasak sahaja.
Secara keseluruhannya muzium ini memperlihatkan fungsi dan peranan istana ketika itu dengan memaparkan Balairong Seri, Bilik Beradu Diraja dan balai-balai yang melambangkan ketamadunan masyarakat Melayu.
Pembinaan Replika Istana Kesultanan Melayu Melaka ini telah menambahkan lagi binaan sejarah tanahair serta memperlihatkan kepada masyarakat umumsebuah Pusat Empayar yang terbesar di Asia Tenggara pada abad ke-15 pernah muncul di Melaka.
Muzium Istana Kesultanan Melaka ini di buka setiap hari mulai 9.00 pagi - 5.30 ptg. Bayaran masuk adalah RM3.00 untuk dewasa warganegara Malaysia, RM5.00 untuk dewasa warganegara asing dan RM2.00 untuk kanak-kanak warganegara dan juga bukan warganegara.
Muzium Istana Kesultanan Melaka,
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM),
Kompleks Warisan,
Jalan Kota,
75000 Melaka.
Tel: +606-282 7464 / +606 282 6526 / +606 281 1289
Faks: +606-282 6745
admin@perzim.gov.my
0 comments: