Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan terletak di Bandar Melaka dan berhampiran dengan kesan-kesan sejarah yang lain seperti A Famosa dan replika Istana Kesultanan Melaka. Ianya merupakan sebuah bangunan lama yang telah diubahsuai, kini dengan megahnya berdiri menghadap Padang Pahlawan, yang pernah mencatat sejarah kemenangan sebuah perjuangan
Photo by CEphoto, Uwe Aranas / CC-BY-SA-3.0, CC BY-SA 3.0 |
Bangunan ini dibina pada tahun 1911. Sebelum itu bangunan ini dikenali sebagai Kelab Melaka. Bangunan ini juga digunakan untuk kegiatan sosial oleh golongan atasan dan pegawai-pegawai kerajaan pada zaman penjajahan Inggeris. Bersempena dengan sambutan kemerdekaan ke 28, pada 31 Ogos 1985, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan telah dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan Negara.
Penubuhan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan bersesuaian pada masa dan tempatnya sebagai memperingati detik-detik perjuangan ke arah mencapai kemerdekaan, tambahan pula kedudukannya yang dikelilingi oleh tinggalan dan kesan-kesan sejarah tanah air yang penting.
Memorial ini ditubuhkan untuk mengambil dokumen tentang kemerdekaan negara. Selain itu, pameran di bangunan ini meliputi Zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Barang-barang yang dipamerkan meliputi dokumen, gambar, peta, perjanjian, teks ucapan, pita rakaman, minit-minit mesyuarat, majalah, keratan akhbar dan bahan-bahan artifek yang berkaitan dengan perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.
Pameran di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dibahagikan kepada beberapa bahagian mengikut urutan peristiwa atau kronologi. Ianya bermula dengan penubuhan Kesultanan Melaka, zaman kejatuhan Kesultanan Melaka serta beberapa siri perjuangan menentang penjajah termasuk perjuangan menentang penjajah di tempatnlain seperti di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.
Ruang pameran terletak di kedua-dua tingkat bangunan dan disusun mengikut urutan peristiwa. Di tingkat dua juga disediakan tayangan filem yang berkaitan dengan perjuangan kea rah kemerdekaan seperti zaman darurat dan juga tanaynag filem mengenai pengisytiharaan kemerdekaan Tanah Melayu.
Sehingga kini Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan terus menjadi salah satu bangunan warisan yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong serta pelawat yang dating untuk mengetahui dengan lebih dekat perjuangan Negara membebaskan diri dari penjajahan. Di dalam bangunan ini terpamer banyak khazanah perjuangan bangsa untuk tatapan serta untuk dijadikan teladan generasi kini dan juga akan datang.
Memorial ini di buka setiap hari Selasa hingga hari Ahad (Isnin cuti kecuali cuti umum dan cuti sekolah) bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Bayaran masuk adalah percuma.
Memorial Pengistiharaan Kemerdekaan
Jalan Parameswara,
75000 Bandar Hilir,
Melaka Bandaraya Bersejarah.
No. Tel : 06-2841231 / 2841232
No. Faks : 06-2829730
0 comments: